`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, March 22, 2018

ANTARA MENGAMPU & MENSABOTAJ

Meskipun tarikh pilihanraya umum belum ditetapkan, BN dilaporkan akan mengumumkan senarai calon-calon yang akan bertanding dalam PRU 14 pada 2 April depan.
Pengumuman itu dikatakan akan diadakan dalam satu majlis khas di PWTC yang akan turut dihadiri oleh semua 13 pemimpin kanan parti komponen BN.
Najib Razak selaku Pengerusi BN dijangka akan menyampaikan watikah kepada calon-calon yang telah dipilih untuk bertanding dalam majlis itu nanti.
Selain itu, pada 7 April pula iaitu lima hari selepas nama-nama calon diumumkan, BN juga akan melancarkan manifesto PRU 14 yang akan diadakan Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Ini menjadikan, buat pertama kalinya, di sebalik tarikh piliharaya belum ditentukan dan Parlimen belum dibubarkan, tetapi BN sudah lebih awal mengumumkan senarai calon dan membentangkan manifestonya.
Adakah kelainan ini, khususnya dengan begitu awal mengumumkan senarai calon, menunjukkan BN sudah tidak tentu arah dan terlalu gabra untuk memenangi pilihanraya akan datang?
Adakah pengumuman senarai calon yang terlalu awal, berbanding kebiasaannya kira-kira seminggu sebelum tarikh pengundian, mampu memberi kelebihan kepada BN?
Yang nyatanya, di sebalik Najib, UMNO dan BN dilihat begitu terdesak untuk memenangi pilihanraya dan mengekalkan kuasa berikutan skandal dan sokongan rakyat yang sentiasa berkurangan terhadapnya, pengumuman calon lebih awal ini akan mewujudkan dua keadaan yang bertentangan dan tidak menguntungkan.
Pertama, ini dengan sendirinya menjadikan mulai sekarang hingga tarikh 2 April depan adalah detik-detik pengampuan, pembodekan perlobian dan tikam belakang, malah mungkin hingga ke tahap perbomohan untuk mereka yang begitu teringin terpilih sebagai calon.
Mereka yang berbuat demikian bukan saja dari kalangan yang pertama kali mahu menjadi calon, malah juga yang sudah beberapa penggal bergelar Yang Berhormat.
Maka, tempoh sehingga tarikh 2 April iaitu bila mana nama-nama calon itu akan diumumkan – Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan lain-lain pemimpin yang ada pengaruh – adalah paling sibuk dikunjungi pagi dan petang, siang dan malam oleh mereka yang berhajat menjadi calon itu.
Mereka yang berhajat menjadi calon itu bukan saja akan mempromosikan diri sendiri secara gila-gila, malah sudah tentu akan memburukkan lawan sesama parti yang turut bersaing sama untuk menjadi calon.
Jika mempromosi diri, mengampu dan memburukkan lawan tidak berapa menjadi, pilihan lain mungkin dengan berjumpa dengan bomoh untuk meminta pertolongan dan bantuan.
Pendeknya, inilah juga masanya untuk bomoh-bomoh mencari duit lebih dengan bermodalkan kemenyan, tangkal, air jampi dan seumpamanya.
Kedua, langkah mengumumkan calon lebih awal juga dengan sendirinya akan membuka ruang sabotaj yang lebih awal kepada BN sendiri.
Mereka yang tidak terpilih atau gagal  mendapat surat watikah, lebih-lebih lagi jika sudah melabur banyak wang menjaga penyokong dan melobi untuk menjadi calon, sudah tentu akan berasa kecewa, tidur tak lena dan mandi tak basah dibuatnya.
Dikatakan bahawa kecewa tak dipilih sebagai calon adalah lebih parah menyebabkan kesengsaraan kepada jiwa berbanding putus cinta atau ditinggal kekasih lama.
Mereka inilah yang biasanya akan bertukar melakukan sabotaj kerana tidak mahu yang terpilih sebagai calon itu menang pilihanraya dan bergelar Yang Berhormat akhirnya.
Sabotaj boleh dilakukan dengan pelbagai cara, antaranya berkempen secara senyap-senyap tidak memberikan undi atau melumpukan jentera pilihanraya.
Bagi yang keras hati atau remuk hati tak tertahan lagi, mereka biasanya akan terus menyokong parti lawan atau mengumumkan penghijrahan ke parti lain.
Namun demikian, ada juga terjadi di mana mereka yang tidak terpilih sebagai calon dijanjikan habuan lain sama ada dalam bentuk jawatan, projek atau ganjaran tunai.
Begitulah lumrahnya dalam UMNO dan BN selama ini. Apa pun, semua elemen ini akan membawa ketidakselesaan kepada BN.
Natijahnya, mengumumkan calon lebih awal, walaupun ada baiknya, tetapi belum tentu membawa kebaikan yang maksima kepada BN, malah mungkin mencetuskan pergolakan serta perpecahan yang akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan.
– http://shahbudindotcom.blogspot.co.id

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.