`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 15, 2018

Najib selamatkan ekonomi Malaysia 2 kali sejak 2009

ERIC-SEE-TO-NAJIB-RAZAK-1

Oleh Eric See-To
Berita melucukan semalam yang saya baca apabila Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal memohon rakyat Sabah memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila beliau mendakwa Dr Mahathir mempunyai pengalaman “menyelamatkan ekonomi Malaysia” berdasarkan apa yang beliau lakukan pada 1998.
Mengambil kira kebenaran ekonomi kita sekarang ini yang bergerak maju serta ulasan Bank Dunia menyatakan ekonomi kita berkembang kukuh dan antara ekonomi yang berkembang pesat berbanding negara lain dan akan mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh 3 tahun ini, boleh saya katakan Shafie ini tidak tahu apa pun mengenai ekonomi atau semata-mata sanggup menipu untuk mengampu Dr Mahathir.
Krisis 1998 yang menyerang Malaysia merupakan krisis ekonomi yang turut melanda beberapa negara Asia.
Jika Dr Mahathir ini bagus sangat, kita tidak perlu diselamatkan pada 1998.
Kita juga perhatikan negara yang mengalami masalah sama pada 1998 pulih bersama kita pada masa tersebut, malahan Korea Selatan kini lebih baik apabila mereka melaksanakan beberapa pembaharuan yang diperlukan, sedangkan Dr Mahathir tidak mahu berbuat demikian.
Apabila Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri pada 2009 (sebelum itu beliau memegang jawatan menteri kewangan untuk beberapa bulan), dunia sedang bergelut dengan kemelesetan ekonomi – di mana ahli ekonomi menyifatkan ia lebih teruk daripada kemelesetan ekonomi dunia pada 1930-an.
Peristiwa pada 1998 tidak seburuk mana berbanding kemelesetan ekonomi dunia, tetapi rakyat Malaysia tidak merasai masalah tersebut. Mengapa?
Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi pada awal 2009, tetapi dengan beberapa pakej rangsangan yang dilaksanakan Najib dengan segera, kita kembali pulih dengan pantas dan untuk 7 tahun kita mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Ironinya, Najib dipersalahkan dengan dakwaan hutang kerajaan meningkat akibat pakej rangsangan tersebut. Malahan, ada rakyat Malaysia menyalahkan Najib yang sudah menyelamatkan Malaysia.
Kejatuhan harga komoditi dunia pada 2014
Najib sekali lagi diuji pada 2014 apabila harga komoditi dunia jatuh. Ini menjejaskan eksport kita – petroleum dan minyak sawit.
Kali terakhir Malaysia mengalami masalah harga komoditi jatuh ialah pada 1985 semasa zaman Dr Mahathir.
Negara kita mengalami kemelesetan ekonomi sekali lagi. Tidak seperti 1985, dengan dasar berhemat Najib, termasuk pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperlukan, tetapi dipolitikkan.
Malaysia tidak mengalami kemelesetan berbanding negara utama pengeluar komoditi seperti Brazil, Arab Saudi, Brunei, Bahrain dan banyak lagi.
Bukan sahaja kita tidak mencatatkan pertumbuhan ekonomi negatif, tetapi kita dapat pulih dengan cepat dan untuk 5 suku penggal mencatatkan kenaikan pertumbuhan.
Sekali lagi, pihak berkuasa tidak perlu menambat mata wang kita, tidak perlu menubuhkan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd (Danaharta) dan Danamodal Nasional Bhd (Danamodal) untuk menyelamatkan bank, tiada satu pun syarikat konglomerat rugi besar serta pasaran saham tidak menjunam sebanyak 80%.
Dari satu sudut lain pula, selain memberi fokus kepada rangsangan ekonomi domestik, melaksanakan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan lain-lain tindakan, bukan sahaja Najib memutuskan untuk tidak menambat ringgit, tetapi beliau mengambil kesempatan daripada ringgit lemah untuk menggalakkan eksport, pelancongan dan pembuatan – itulah fokus utamanya semasa Bajet 2015 dan 2016.
Satu contoh klasik menukar masalah sebagai peluang mencapai kejayaan. Hasilnya terbukti dengan eksport, sektor pelancongan dan pembuatan bertumbuh pesat, ekonomi domestik kekal kukuh sementara pasaran saham dan ringgit pulih dengan baik.
Saya kesal dengan usaha memperbodohkan rakyat Sabah untuk menerima Dr Mahathir, walaupun Dr Mahathir bertanggungjawab ke atas Projek IC (kad pengenalan) dan mengetepikan Sabah dan Sarawak selama 22 tahun. Shafie menunjukkan beliau tidak tahu apa pun dan bercakap semberono mengenai ekonomi negara.
Eric-See-To ialah timbalan pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.