`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, November 16, 2017

SATU LAGI FORUM DIGANGGU, ADA LAGIKAH KEBEBASAN BERFIKIR, SOAL AHLI AKADEMIK

APAKAH kebebasan intelektual kini sedang terbantut di Malaysia, sebuah negara yang mendabik dada dengan citra sebuah negara Muslim moden yang mengamalkan Islam dengan segala kesederhanaannya?
Inilah yang diyakini oleh sesetengah ahli akademik tempatan ketika pemilik sebuah premis menarik diri daripada terlibat dalam penganjuran sebuah forum mengenai Islam di Kuala Lumpur selepas digertak oleh pihak berkuasa agama.
“Kita akan teruskan juga. Ini perang untuk kebebasan intelektual,” kata penganjur forum, Dr Ahmad Farouk Musa, mengulas usaha Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menghentikan acara tersebut.
Jawi pada akhir September lepas berjaya membatalkan syarahan oleh penulis Turki, Mustafa Akyol di sebuah univerisiti.
Dalam kalangan ahli akademik, ada yang melihat cubaan pihak berkuasa agama menyekat perbahasan mengenai Islam ini tidak cocok untuk sebuah negara yang mahu membangunkan sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan, yang dicita-citakan oleh pentadbiran Najib Razak.
“Penapisan dalam perbincangan intelektual di ruang awam memberikan kesan yang negatif kepada pembangunan masyarakat,” pakar ekonomi dan penganalisis politik bebas, Dr Andrew Aeria.
“Ia meremehkan usaha kita untuk jadi sebuah masyarakat yang bersemangat, yakin diri dan progresif yang tahu nilai ilmu pengetahuan. Ia menghalang penyelidikan saintifik dan merencatkan kemajuan,” kata bekas pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Portal berita Free Malaysia Today melaporkan Kelab Golf Diraja Selangor di Kuala Lumpur menarik diri daripada jadi tempat penganjuran forum mengenai Islam dengan alasan “buat masa ini, ia menolak jadi tuan rumah semua acara berkaitan agama”.
Forum anjuran bersama G25 dan Islamic Renaissance Front (IRF) itu dijadual berlangsung bulan depan. Ia bakal menampilkan cendekiawan Islam dari Amerika Syarikat, Dr Nader Hashemi.
Forum bertajuk “What We Believe” itu dianjurkan sempena pelancaran penerbitan terjemahan Bahasa Melayu buku “What I Believe” tulisan ilmuan Islam, Dr Tariq Ramadan. Terjemahan itu diberi judul “Apa Yang Aku Yakini”.
Nader bagaimanapun berkeras akan hadir walaupun ada tekanan daripada pihak berkuasa, kata Farouk, yang sering berhubung dengan tokoh intelek itu.
Di akaun Twitternya, Nader merakamkan pandangannya tentang perkembangan ini, bahawa harus ada ruang untuk perbahasan manakala sekatan dan tekanan tidak akan berhasil apa-apa.
Despite this news, I’m still looking forward to my trip to Malaysia. The doors to dialogue & debate should be opened, not closed. Censorship/repression never works. https://shar.es/1PM1mL @AkyolinEnglish @n_izzah @IRFront @SistersinIslam@DannyPostel

Elite KL club denies space for intellectual forum after pressure

The Royal Selangor Golf Club confirms they have been approached by religious authorities.
freemalaysiatoday.com
“(Nader) tahu apa yang berlaku, malah adakalanya dia lebih dahulu tahu sebelum saya. Dia terbang ke sini dengan kelas bisnes walaupun dia tahu kami hanya boleh tampung kos penerbangan kelas ekonomi.”
IRF kini mencari tempat baru untuk menganjurkan forum tersebut.
Pada September, Mustafa, yang datang ke Malaysia untuk forum dan syarahan yang juga dianjurkan oleh IRF ditahan oleh pihak berkuasa atas kehendak Jawi. Beliau disiasat kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah.
Syarahan Mustafa yang ketiga, yang sepatutnya membincangkan kedudukan Jesus dalam Islam dan sepatutnya juga berlangsung di Nottingham University Malaysia, bagaimanapun dibatalkan pada saat-saat akhir.
Menurut Faoruk, sesi itu dibatalkan juga kerana tekanan daripada Jawi.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) kemudian mengharamkan dua buku terbitan IRF, Wacana Pemikiran Reformis Jilid 1 dan 2 serta buku Mustafa Akyol, “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty” dan terjemahannya, “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”.
Tindakan KDN itu kemudiannya dikritik oleh ahli akademik dan pertubuhan masyarakat sebagai serangan ke atas kebebasan berfikir dan kebebasan bersuara.
Pada Julai, KDN mengharamkan buku “Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy”, yang kata pengantarnya ditulis oleh bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Dr Wong Chin Huat daripada Penang Institute menyifatkan pihak yang paling rugi daripada kesan tindakan kerajaan mengawal pemikiran rakyat ialah khalayak berbahasa Melayu.
Ini kerana kebanyakan buku yang diharamkan atau forum yang dipantau, semuanya sama ada dalam Bahasa Melayu atau tentang Islam.
Pada 2006, KDN juga mengharamkan buku edisi Charles Darwin, Origin of the Species, edisi Bahasa Indonesia kerana mengemukakan idea yang bertentangan dengan ajaran Islam, kata Wong.
“Pengawalan agama ini tidak begitu dirasai oleh semua pihak melainkan jelas bertumpu pada masyarakat yang berbahasa Melayu,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.
“Ini menjadikan Bahasa Melayu tertinggal, jumud dan lesu dari segi intelektual berbanding Bahasa Indonesia yang kaya, dinamik dan bertenaga.”
Peguam dan penganalisis juga mengkritik peraturan Jawi yang mensyaratkan hanya mereka yang diberi tauliah daripada pihak berkuasa agama dibenarkan bercakap tentang Islam.
Debat tentang Islam, kata Aeria, tidak harus disekat kerana agama hadir dengan menyeluruh dalam masyarakat.
Ini boleh dilihat pada dua sistem perundangan yang mengikat orang Islam, sivil dan syariah, yang selalu pula bertembung antara satu sama lain seperti yang berlaku dalam kes perebutan hak penjagaan anak dan penggunaan kalimah Allah.
“Apabila agama masuk ke ruang awam, maka ia jadi isu yang perlu dibincangkan secara umum dan selagi tidak menghasut kebencian dan keganasan, selagi itu ia tidak harus disekat.”
“Apabila ulama atau Jakim atau kerajaan mengenakan tapisan atas nama Islam, mereka menyekat kita daripada berfikir, berbincang dan bertukar fikiran. Apabila ini berlaku, sains dan ilmu itu terbantut.
“Akhirnya, apapun yang ulama, Jakim atau kerajaan fikir, Islam bukan hak mereka.
“Islam hak semua orang di serata dunia dan semua orang ada hak untuk berbincang tentang Islam bagi menajamkan kefahaman mereka tentang agama mereka.”
– https://www.themalaysianinsight.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.