`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, August 28, 2017

MESEJ BUAT SALLEH KERUAK

Saya sedikit terkejut untuk membaca respon Menteri Komunikasi, Datuk Seri Salleh Said Keruak, kepada kenyataan media saya mengenai kemungkinannya berlaku peralihan undi Melayu sebanyak 15 peratus daripada BN ke pembangkang pada pilihan raya umum ke-14.
Biasanya, menteri BN tidak begitu suka memberi balasan kepada kenyataan media saya yang mengandungi angka dan fakta.
Saya ucapkan tahniah kepada Menteri Komunikasi atas kepekaan beliau terhadap peralihan undi Melayu dalam PRU14.
Pertama, saya setuju bahawa Pakatan Harapan tidak boleh menganggap bahawa pengundi muda akan lebih cenderung kepada pihak pembangkang walaupun di PRU 2008 dan 2013.
Berdasarkan kajian undi mengikut saluran, kadar sokongan kepada pembangkang di saluran pengundi muda lebih tinggi berbanding dengan saluran pengundi tua.
Tidak boleh dinafikan bahawa senjata utama BN untuk menarik pengundi muda, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mendapat sambutan yang baik di kalangan orang muda, terutamanya melalui media sosial.
Pada pendapat saya, strategi media sosial beliau jauh lebih berkesan berbanding dengan perdana menteri kita.
Populariti Khairy melonjak lagi kerana beliau bukan sahaja turun padang untuk memberi galakkan kepada para atlit sukan SEA kita tetapi juga turun padang untuk mewakili negara dalam sukan polo.
2017 bukan 1990
Kedua, saya setuju bahawa negara kita tidak mengalami kegawatan ekonomi buat masa sekarang, bukan seperti situasi menjelang PRU 1999.
Tetapi saya rasa Salleh patut sedar 2017 bukan 1990.
Menjelang PRU 1990, parti pembangkang hanya memegang 27 daripada 177 kerusi parlimen ataupun 15 peratus daripada jumlah kerusi parlimen.
Menjelang PRU14, parti pembangkang (termasuk anggota parlimen bebas) memegang 89 daripada 222 kerusi parlimen ataupun 40 peratus.
Menjelang PRU 1990, parti pembangkang tidak menguasai mana-mana kerajaan negeri. Menjelang PRU14, pihak pembangkang adalah kerajaan di tiga negeri.
Menjelang PRU 1990, semua media dikawal oleh kerajaan. Menjelang PRU14, media atas talian memberi persaingan yang hebat kepada media arus perdana dari segi pengguna.
Media sosial memberi satu lagi arus kepada pihak pembangkang untuk menyampaikan maklumat kepada pengundi.
Umno takut?
Menjelang PRU 1990, pihak pembangkang diketuai oleh seorang bekas menteri kewangan yang keluar Umno.
Menjelang PRU 14, pihak pembangkang dipimpin oleh seorang bekas perdana menteri, dua orang bekas timbalan perdana menteri, ketua pembangkang, seorang bekas menteri besar (Kedah), seorang menteri besar (Selangor) dan seorang ketua menteri (Pulai Pinang).
Menjelang PRU 1990, pemimpin parti pembangkang muda tidak beberapa diketahui orang ramai. Menjelang PRU 14, pemimpin muda Pakatan Harapan yang berusia 40 ke bawah termasuk Nurul Izzah Anwar, Syed Saddiq Abdul Rahman, Nik Nazmi Nik Ahmad, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh, Zairil Khir Johari, Steven Sim, Yeo Bee Yin dan Kasturi Patto.
Selain Khairy, pemimpin muda BN yang dikenali orang ramai adalah Jamal Yunos yang berminat untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.
Menjelang PRU 1990, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak wujud dan subsidi minyak, gula, minyak masak dan sebagainya masih ada.
Menjelang PRU14, pelaksanaan GST dan penarikan balik subsidi-subsidi mengurangkan pendapatan orang ramai dan meningkatkan kos kehidupan dari bandar hingga ke kampung.
Menjelang PRU 1990, perdana menteri masa itu tidak terlibat dalam skandal mega yang memburukkan nama negara di seluruh dunia.
Menjelang PRU 14, Malaysia lebih dikenali sebagai negara ‘kleptokrat’ akibat daripada skandal 1MDB yang duit berbilion-bilion disyaki dicuri daripada rakyat Malaysia dan digunakan untuk membeli permata, rumah mewah, lukisan dan poster dan kapal layar.
Semua faktor ini tidak bermakna peralihan undi Melayu sebanyak 15 peratus daripada BN kepada pembangkang semestinya akan berlaku.
Tetapi, adakah blog Salleh menunjukkan bahawa Umno sendiri takut peralihan undi orang Melayu kepada pembangkang akan menjadi suatu realiti di PRU14?
DR ONG KIAN MING anggota parlimen Serdang.
– M’kini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.