Datuk Mukhriz Tun Mahathir  
Datuk Mukhriz Tun Mahathir
JITRA - Dana yang dikutip daripada bayaran masuk ke Tasik Dayang Bunting di Pulau Langkawi, bukanlah untuk kepentingan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan kemudahan dan prasarana baik dapat disediakan sekali gus menarik lebih banyak kunjungan pelancong.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, langkah Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) mengenakan bayaran masuk itu adalah wajar bagi memastikan penjagaan dan penyelenggaraan infrastruktur dapat dilakukan dengan baik.

"Janganlah dilihat hanya sebagai destinasi murah, tapi kualiti tidak baik dan penyelenggaraan tidak dibuat sempurna. Saya bimbang Langkawi, atau Kedah atau Malaysia akan dapat reputasi tidak baik di pandangan pelancong," katanya selepas  merasmikan acara golf amal bantuan bencana banjir 2015 di sini hari ini.
Semalam Setiausaha Agung Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia Taib Wahab mengeluarkan kenyataan menolak cadangan Lada yang disifatkannya sebagai tidak munasabah dan akan menjejaskan kedatangan pelancong.

Kadar bayaran ditetapkan bermula esok adalah dewasa RM5 dan kanak-kanak RM3.

Warga Langkawi pula tidak dikenakan bayaran.

Sebelum ini pelancong yang ingin masuk ke kawasan Tasik Dayang Bunting tidak dikenakan bayaran.

Mukhriz berkata kadar yang ditetapkan itu munasabah dan mampu dibayar pelancong.

"Di negara lain biasanya memang dikenakan bayaran kepada pelancong, dan daripada kajian, pelancong biasanya tak rasa kekok untuk membayar kerana dia tahu ini pun sumbang untuk menjaga alam sekitar dan pelancongan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya beliau menggesa syarikat korporat yang tersenarai di Bursa Saham untuk tampil menjalankan tanggungjawab korporat dengan membantu rakyat Malaysia yang ditimpa bencana alam.

"Saya harap mereka lebih sensitif, tidak hanya meraih keuntungan hasil daripada pertumbuhan ekonomi, yang mana tentunya rakyat Malaysia sebagai pengguna yang banyak menyumbang kepada kejayaan, tapi bila dalam susah tak nampak muka pun," katanya.

Dalam majlis itu Pengarah Urusan Bina Darulaman Berhad Datuk Izham Yusoff menyampaikan sumbangan berjumlah RM307,500 kepada Menteri Besar Kedah bagi membantu mangsa banjir baru-baru ini.

Kerajaan Kedah sebelum ini mengumumkan akan membantu mangsa banjir di Kampung Karangan, Manek Urai, Kelantan, dengan membina 53 penempatan untuk 53 buah keluarga mangsa banjir di kampung itu. - Bernama