`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, February 1, 2013

Sultan Selangor Ada Kuasa Tolak Nasihat MB Bubar DUN


http://www.harian-metro-online.com/wp-content/uploads/2011/10/Sultan-Selangor-Sultan-Sharafuddin-Idris-Shah1.jpg 
(mStar) - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa menolak permohonan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bagi membolehkan pilihan raya diadakan.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Sultan Selangor mempunyai kuasa budi bicara untuk tidak memperkenankan permohonan Abdul Khalid sebagai Ketua Eksekutif di negeri itu bagi tujuan berkenaan.
"Berdasarkan sistem Raja Berperlembagaan, Ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong atau Ketua Negeri iaitu raja atau sultan mempunyai kuasa budi bicara dalam soal pembubaran Parlimen atau DUN.
"Agong atau sultan boleh untuk tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri atau Menteri Besar berdasarkan alasan dan pertimbangan tertentu mengikut budi bicara mereka," katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.
Bagaimanapun Nik Ahmad Kamal berkata secara amalannya, agong atau sultan akan memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen atau DUN sekiranya wujud permohonan daripada Ketua Eksekutif.
"Dalam kes Selangor, sekiranya Sultan Selangor enggan bersetuju sudah pasti ia akan menimbulkan satu konflik Perlembagaan dan menjadi 'precedent' kerana ia berlaku di luar amalan dan kebiasaan.
"Tambahan pula berdasarkan situasi semasa apabila tempoh matang DUN Selangor hampir tamat pada April nanti. Jadi pastinya akan menimbulkan masalah sekiranya permohonan untuk dibubarkan DUN ditolak," katanya.
Selain itu Nik Ahmad Kamal yang juga Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah berasaskan konsep Raja Berperlembagaan atau Constitutional Monarchy yakni raja yang sentiasa kena mematuhi nasihat Jemaah Menteri atau salah seorang yang mewakilinya (biasanya Perdana Menteri) seperti yang dikehendaki Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya bagi melaksanakan tiga fungsi iaitu melantik seorang Perdana Menteri; tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen dan meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu.
Peruntukan yang sama dimasukkan dalam Perlembagaan Negeri menerusi Jadual Kelapan Perkara 71 sebagai peruntukan tetap yang menyentuh mengenai kuasa budi bicara seorang sultan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Abdul Khalid bahawa Kerajaan Selangor sedia membubar DUN pada akhir Februari ini iaitu selepas sambutan Chap Goh Mei, jika Kerajaan Pusat tidak membubarkan Parlimen pada waktu itu nanti.
Sementara itu, peguam hak asasi manusia, Syahredzan Johan berpendapat Abdul Khalid tidak mempunyai saluran undang-undang sekiranya wujud situasi apabila Sultan Selangor menolak permohonannya untuk membubarkan DUN.
"Saya tidak dapat lihat secara realistiknya cara lain untuk Menteri Besar Selangor membubarkan DUN sekiranya baginda tidak membenarkannya.
"Perkara ini mungkin boleh dibawa ke mahkamah, tetapi saya tidak rasa ianya sesuatu yang Kerajaan Selangor ingin lakukan. Saya juga tidak yakin sama ada keputusan akan berpihak kepada mereka," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan Majlis Peguam Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.