tikus

SUBANG JAYA - Tikus dengan seberat hampir satu kilogram setiap seekor antara haiwan pembawa penyakit yang berjaya dikumpul penduduk sempena gotong-royong anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di kawasan komersil SS15, di sini.

Inisiatif pembersihan bangkai tikus dilakukan selama dua jam selepas MPSJ memasang perangkap melalui kaedah intensif dua hari sebelum itu.

Pengarah Kesihatan MPSJ, Dr Roslan Mohamed Hussin berkata, banyak lagi bangkai tikus dijangka ditemui di kawasan komersil itu dalam tempoh seminggu akan datang.

“MPSJ sudah meletakkan kira-kira 45,000 keping roti beracun di beberapa tempat strategik di sekitar kawasan bagi memerangkap haiwan pembawa penyakit itu.

“Sebanyak RM2,000 diperuntukan untuk melaksanakan inisiatif pembersihan tikus ini yang dikesan berkeliaran di kawasan SS15, dalam tempoh dua hari sebelum ini kita berjaya mengumpul 265 bangkai tikus,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan yang turut serta mengutip bangkai tikus dalam program itu berkata, beliau menerima banyak aduan berhubung isu pembiakan tikus daripada penduduk terutama dari SS15 yang merupakan salah satu kawasan tertua di Subang Jaya.

Jelasnya, pelupusan sisa makanan yang tidak sempurna dikesan antara punca utama pembiakan tikus berlaku di kawasan itu.

“Pembuangan secara haram sisa binaan dan perabot lama juga telah memburukkan lagi keadaan di lorong belakang kedai yang menjadi tempat persembunyian haiwan ini,” katanya.

Beliau berkata, MPSJ perlu serius mempertimbangkan untuk menjalankan kutipan sampah dua kali sehari, pada waktu pagi dan malam untuk mengurangkan sumber makanan kepada tikus.

“Sudah tiba masanya MPSJ mengkaji semula garis panduan kawalan perosak, ini juga masa yang tepat bagi penduduk memilih premis makanan mana yang bersih, berikan mesej bahawa anda tidak bertolak ansur dengan restoran kotor,” katanya.

Beliau mengakui, banyak kawasan menghadapi gangguan tikus termasuk SS15, Taipan, PJS11, SS13 dan SS19.